Utusan Malaysia
15/04/2010 8:00pm
KUALA LUMPUR 15 April – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meletakkan soal pendidikan sebagai agenda penting di dalam perjuangan mereka.
Beliau berkata, anak-anak Melayu, yang masih jauh ke belakang dalam bidang pendidikan, perlu mencapai satu tahap keupayaan penguasaan pelbagai ilmu dan bidang khususnya sebelum negara mencapai taraf negara maju pada tahun 2020.
"Kalau kita nilai dari situasi semasa, tak dapat kita nafikan soal pendidikan menjadi semakin penting, lebih mencabar dan lebih kompetitif. Oleh sebab itu ia perlukan komitmen bersungguh-sungguh, bukan hanya retorik, tapi kenyataannya kita harus lebih bekerja untuk berjaya.
"Kita sudah mencipta kejayaan berbanding dengan tahun dulu, tapi hakikatnya masih banyak ruang kosong, lompang yang belum diisi untuk membolehkan kita mencapai tahap membanggakan.
“Kalau hanya lihat daripada sudut keputusan peperiksaan semata-mata, walaupun sudah ada pencapaian dikatakan baik, rata-rata anak-anak Melayu masih belum boleh dibanggakan,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada Majlis Dialog Bersama Pemimpin dan pelancaran Skuad Jelajah Motivasi 1Malaysia GPMS-Score A 2010 di sini hari ini. – Bernama
No comments:
Post a Comment