Saturday, April 17, 2010

Muhyiddin tegaskan beliau bukan pemimpin rasis kerana dahulukan Melayu

Utusan Malaysia Online ARKIB : 16/04/2010



KUALA LUMPUR 15 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau bukan seorang pemimpin yang rasis hanya kerana pendiriannya yang mendahulukan Melayu walaupun sesetengah pihak khususnya pembangkang kini menggelarnya sebagai 'Ultra Malay.'

Sambil mengulangi pendirian itu tidak bertentangan dengan gagasan 1Malaysia kerana ia selaras dengan Perlembagaan, Timbalan Perdana Menteri berkata, masih ramai masyarakat Melayu perlu dibantu kerana kaum majoriti itu sebenarnya ketinggalan dalam banyak aspek berbanding kaum lain.

''Saya bukan perkauman hanya kerana kenyataan mendahulukan Melayu. Kita (Barisan Nasional) merupakan sebuah kerajaan bertanggungjawab yang menghormati hak semua kaum dan ia dijamin.

''Namun, dalam konteks negara kita, Melayu merupakan penduduk majoriti dan ramai pula yang ketinggalan, maka sudah tentu perhatian dan tumpuan terarah kepada kaum majoriti secara bilangannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Pelancaran Skuad Jelajah Motivasi 1Malaysia Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)-Score A, di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Presiden GPMS, Jais Abdul Karim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Prof. Madya Datuk Dr. Azraei Idris.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, orang Melayu bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi malah gagal bersaing dalam bidang pendidikan khususnya dari segi pencapaian dan penguasaan kemahiran sesuatu bidang yang profesional.

Menurutnya, oleh sebab itu, kerajaan perlu sentiasa membantu orang Melayu agar seiring dengan pencapaian kaum lain tetapi pada masa yang sama pelbagai insentif juga ditawarkan kepada penduduk bukan Melayu agar mereka terus maju.

''Adalah sesuatu yang tidak adil menggelarkan kita sebagai perkauman hanya kerana membantu kaum Melayu agar lebih maju sedangkan kerajaan tidak pernah menafikan hak-hak kaum lain," jelasnya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai skuad jelajah motivasi 1Malaysia, Muhyiddin memuji usaha GPMS untuk meningkatkan lagi pencapaian akademik pelajar Melayu khususnya di kawasan pedalaman.

Katanya, usaha meningkatkan penguasaan ilmu bagi melahirkan modal insan terpelajar bukan merupakan tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi ia perlu dikongsi oleh pelbagai pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

''Inilah langkah yang wajar diikuti NGO yang lain kerana jika kita ingin menjadi bangsa yang berjaya tiada cara lain selain melahirkan generasi modal insan yang berilmu," ujarnya.

No comments: